SEDIA dan Pentadbiran Daerah Komited Memastikan Kelancaran Projek-projek di Peringkat Daerah di Sabah

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi SEDIA YAB. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor semasa memberi ucapan di hadapan barisan Pegawai Daerah Sabah

Kota Kinabalu (Khamis) — Majlis Jalinan Strategik dengan Pentadbiran Daerah yang diadakan pada hari ini sempena Mesyuarat Ke-35 Pihak Berkuasa SEDIA adalah bagi meraikan Pentadbiran Daerah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang terjalin dalam melaksanakan pembangunan di negeri Sabah.

Majlis ini menjadi sebuah platform untuk mengukuhkan lagi kerjasama di antara SEDIA dengan agensi pelaksana inisiatif di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC), khususnya dengan Pentadbiran Daerah yang terdiri daripada Majlis Perbandaran, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil di seluruh Sabah.

Hubungan kerjasama erat SEDIA dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri ke arah pembangunan infrastruktur mampu meningkatkan dan menambah pesat aktiviti ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar. Sejak tahun 2020, SEDIA telah diberikan mandat untuk menyalurkan dana untuk projek-projek kecil “people-centric” yang berimpak tinggi. Pengenalpastian projek-projek ini telah dilakukan melalui cadangan dan pengesyoran daripada Pejabat Pentadbiran Daerah mengikut keutamaan dan keperluan infrastruktur awam daerah masing-masing.

Program SDC telah dilancarkan pada 29 Januari 2008 kini dilaksanakan berpandukan Rangka Tindakan SDC 2.0 (2021–2030) bertemakan “Pertumbuhan Mampan dengan Inklusiviti Sosial dan Ekuiti” adalah sebuah pelan transformatif yang dirumuskan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sambil memastikan keterangkuman dan kemampanan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sabah, menggalakkan keseimbangan serantau, dan merapatkan jurang dalam dan luar bandar, serta memastikan pengurusan sumber negeri yang mampan.

Ketua Eksekutif SEDIA YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan semasa penyampaian ucapan alu-aluan

Rangka kerja institusi semasa SDC disusun dengan baik dengan SEDIA sebagai sebuah agensi Kerajaan Persekutuan, bekerja di bawah Kerajaan Negeri, dan dengan kerjasama erat dengan Agensi Negeri dan pihak berkuasa tempatan. Mandat yang diamanahkan kepada SEDIA termasuklah untuk menarik pelaburan, melaksanakan projek pembangunan infrastruktur, membangunkan sumber modal insan serta menjana dan merancakkan pembangunan ekonomi di negeri Sabah.

Penyerahan plaque penghargaan diserahkan sendiri oleh YAB Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa kepada Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Presiden Majlis-Majlis Perbandaran, Pegawai-Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil sebagai tanda penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan oleh mereka.

.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi SEDIA YAB. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor diiringi Ketua Eksekutif SEDIA YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan semasa penyampaian plaque penghargaan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YBhg. Datuk Norlijah Hj. Danin

Similar Posts